Sudah 2, 3 purnama saya tidak update blog ni. Terima kasihlah kepada rakan-rakan yang berkesudian mengunjungi blog ini dan bertanya khabar melalui SMS & juga Facebook. Dengan izin Allah, saya Alhamdulillah luar biasa hebat untuk meneruskan kehidupan yang Allah pinjamkan ini. Salam Aura Kedamaian dan Kemakmuran! Sejak diamanahkan tugas sebagai Ketua Panitia Pengeluaran Ternakan & juga Ketua Warden Asrama, banyak perkara utama yang perlu diutamakan mengikut keutamaan. Hmm.. lantaran semuanya utama dan penting.
INSPIRASI KETUA PANITIA MATA PELAJARAN PENGELUARAN TERNAKAN
Pengeluaran Ternakan satu mata pelajaran yang berbeza berbanding mata pelajaran-mata pelajaran akademik yang lain. Ianya bukan sekadar pendedahan teori. Malah pendedahan kemahiran dan pengalaman kepada para pelajar. Tambahan pula ia melibatkan benda-benda hidup. Inspirasi saya, hendak menjadikan Unit Pengeluaran Ternakan sekolah ini sebagai medan untuk pelajar-pelajar menimba ilmu dan pengalaman asas dalam bidang Penternakan khususnya Penternakan Ayam, Itik, Burung Puyuh, Ikan Air Tawar, Lembu, Kerbau, Kambing, Rusa dan Burung Unta. Disamping melatih pelajar-pelajar menjadi usahawan dan menjana pendapatan melalui Kelab Usahawanternak. Dalam masa yang saya, mata pelajaran Pengeluaran Ternakan mampu mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
INSPIRASI KETUA WARDEN ASRAMA
Amanah kedua yang agak berat untuk dipikul ialah sebagai Ketua Warden Asrama.Cabaran dan dugaan menanti dari pelbagai sudut dalam usaha untuk mendidik pelajar-pelajar remaja berusia 16 & 17 tahun ini. Berbekalkan pengalaman 2 tahun sebagai warden biasa, dengan izin Allah setakat ini mampu lagi saya menangani kerenah mereka. Bak kata pepatah, 'tarik rambut dalam tepung, jangan sampai tepung berserak'. Inspirasi saya ialah untuk melahirkan penghuni asrama yang berketerampilan dan bersahsiah mulia melalui penerapan elemen kerohanian dalam kehidupan seharian. Penekanan utama diberikan kepada pengukuhan solat.
INSPIRASI SEBAGAI PENULIS
Dengan izin Allah, setakat ini saya telah menulis 5 buah buku dalam genre Pengajaran & Pembelajaran (P&P). 3 buah telah berada di pasaran, InsyaAllah sebuah lagi pada bulan ini dan sebuah lagi dalam masa terdekat ini. Inspirasi saya untuk menulis sekurang-kurangnya sebuah buku dalam setahun. InsyaAllah, sekarang saya sedang menulis beberapa buah buku untuk diterbitkan pada tahun 2011. Juga sebuah buku ternakan bersama dengan seorang usahawanternak.